BUNGA PUTERI DIGERUNI PRIBUMI ZAMAN DULU
Posted by Wannura di 11 Julai 2010
FAKTA BUNGA PUTERI (Oleh : Ismail Sai)
Bunga Puteri adalah spesies orkid yang terbesar di dunia dan ia diketahui tumbuh liar menumpang di atas pokok yang tinggi di dalam hutan. Batangnya berjurai sepanjang tiga meter dan rumpun pangkalnya dipenuhi dengan akar angin.
Bunganya keluar pada tangkai yang tegak sepanjang dua meter dan pada satu tangkai terdapat empat hingga 50 kuntum bunga yang besar. Kuntum bunga ini kembang sekuntum dan berakhir sehingga tiga bulan dan ia kelihatan unik dan menarik apabila berbunga lebat di atas pokok yang tinggi.
Nenek moyang kita zaman dulu amat gerun dengan kehadiran bunga orkid ini yang sering dikaitkan dengan penunggu atau pokoknya kepunyaan Puteri Bunian. Masyarakat pribumi tidak berani mengambil bunganya, jauh lagi merosakkan pokoknya menyebabkan keindahan dan keunikan orkid ini terus terpelihara. Pokok orkid ini lebih dikenali sebagai bunga Puteri atau Bidadari .
Kehadiran ahli sains barat ke alam Melayu, terus mengenalpasti tumbuhan ini sebagai orkid terbesar di dunia dan menamakannya Grammatophyllum Speciosum atau Tiger Orchid. Orkid ini terus ditanam di taman botani luar negara dan ada yang melakukan kajian dan hibrid ke atas bunga ini bagi warna bunga yang lebih menarik.
Di Malaysia, bunga Puteri atau Bidadari ini jarang ditemui lagi tumbuh liar di hutan. Orkid ini juga jarang ditanam di taman awam. Kadangkala terdapat juga orkid ini ditanam di taman persendirian dan penggemar orkid menanamnya di sekitar rumah. Di luar negara seperti di Thailand, pokok ini banyak ditanam di taman awam kerana keunikannya yang berbeza dengan spesies orkid lain yang menjadi tarikan pelancong.
Pembiakan orkid bunga Puteri adalah dengan cara membelah rumpunnya. Belahan rumpun yang mempunyai akar angin ditanam terus ke dalam pasu besar atau kotak penanaman yang diisi dengan pecahan batu bata merah atau arang kayu. Belahan rumpun boleh juga diletakkan pada pangkal dahan pokok besar dan diikat supaya tidak jatuh.
Sebagai pokok menumpang (epifit) orkid ini mudah hidup dan tidak memerlukan penjagaan rapi. Bagaimanapun, bunga Puteri memerlukan cahaya matahari secukupnya selain putaran angin yang baik. Bunga Puteri juga memerlukan nutrien yang seimbang bagi kesuburan dan pengeluaran bunganya. Baja Welgrow 15:15:15 disyorkan bagi orkid ini yang perlu disembur seminggu sekali.
Ainul Mardiah Abdul Wahab said
Terima kasih Puan..info ini byk membantu sy utk projek orkid harimau pula.
zainura66 said
Sama-sama….
ahlee bin ahtan said
terima kasih Tuan Hj.Ismail Saidin anda memang pakar